Thursday, 8 September 2011

Salam lebaran

Ramadhan telah berlalu pergi. Kesyukuran dipanjatkan tanda kemenangan, Syawal dirai penuh berseri. Segala macam makanan terhidang, kuih muih, pakaian raya serba baru. Kanak-kanak golongan paling gembira kerana dapat duit raya. Kita yang telah dewasa ini menabur duit raya. Tidak mengapa...bersedekah itu mulia. Moga rezeki dan pahala dari Allah berlipat ganda. Tangan dihulur mohon kemaafan menyuci hati dan semua kesalahan. Itulah istimewanya bulan syawal. Tidak lengkap jika tidak saling bermaafan. Bagi suami isteri bukan hanya isteri sahaja yang perlu memohon kemaafan, suami juga perlu membuat perkara yang sama. Tidak jatuh taraf seorang suami memohon maaf kepada isteri kerana kita adalah manusia yang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Dalam melayari kehidupan bersama, lidahlah yang paling banyak mengumpul saham akhirat. Bak kata orang kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Kata-kata yang dituturkan itulah yang paling meninggalkan kesan paling berbekas. Moralnya fikirlah sebelum berkata-kata dan peliharailah lidah anda!.

Dalam kemeriahan menyambut hari raya terselit jua rasa duka. Perasaan sayu menjerut rasa. Tamatlah sudah Ramadhan yang kita rasakan seakan panjang masanya. Syawal menjelma sekejap cuma. Sedar-sedar telah 10 hari kita beraya. Seakan-akan baru semalam kemeriahan anak-anak bermain bunga api, kemeriahan menyediakan juadah raya di dapur, saudara mara berbual mesra. Itulah dunia. Setahun dirasakan sebulan, sebulan dirasakan sehari dan sehari dirasakan satu jam!. Benarlah kita di akhir zaman. Moga Allah mempertemukan kita bulan yang penuh barakah ini di tahun-tahun mendatang. Selamat hari raya, maaf zahir batin

No comments:

Post a Comment