Tuesday, 23 August 2011

'Kiamat dan dekat"

Seringkali kita umat Muhammad s.a.w lalai dan alpa dalam mengerjakan amal ibadah. Lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh barakah ini. Ramai di kalangan kita yang hanya mendapat rasa lapar dan dahaga sahaja kerana tidak menjaga kualiti yang sepatutnya dalam menjalankan ibadah puasa. Mana tidaknya, ada yang gagal mengawal nafsu amarah, panas baran tak tentu masa. Gagal mengawal deria mata dan pandangan. Gagal menjaga solatnya. Zuhur, Asar, Maghrib solat...tapi Isyak, Subuh?. Alasannya penat setelah seharian bekerja atau mungkin kekenyangan berbuka hingga tidak dapat melakukan ibadah lainnya. Sedangkan semasa zaman nabi dahulu, baginda dan pengikut setianya berperang ke jalan Allah dalam bulan puasa! Malah ada di kalangan mereka yang mati syahid.

Anakku Danish telah mula bercerita kepada kami tentang aktiviti sekolahnya. Sejak kebelakangan ini dia selalu berkata kiamat dah dekat. Ustazah yang cakap katanya. Maka kami pun menyuruh danish mengerjakan solat. Danish sudah berumur 7 tahun, tetapi solatnya celam celum. Adiknya Irfan yang berumur 5 tahun juga turut mengerjakan solat tetapi yang tahu dibacanya hanya Fatihah sahaja namun pergerakan solat yang lainnya betul. Adiknya Alya yang berumur 3 tahun lebih, menangis kerana dia tidak tahu membaca bacaan dalam solat seperti abangnya Danish. Selesai solat ayah mereka menerangkan tentang dua malaikat yang mencatatkan amalan di bahu kanan dan kiri kita. Lantas Danish menjawab malaikat Rokib dan A'tid ayah. Wah...kami tersenyum mendengar jawapan Danish.

Kemudian ayah mereka menerangkan setiap amalan baik dan buruk akan dicatatkan malaikat ini. Jika banyak amalan jahat yang dilakukan maka beratlah timbangan amalan jahat dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Spontan Alya menangis sambil berkata..."Alya takut ayah"..."Kenapa? Alya takut hantu ke?" tanya ayah mereka. "Tak...Alya takut Allah". Terkesima kami mendengar jawapan dari Alya. Betapa anak kecil itu takutkan Allah apatahlagi kita. Maka benarlah dari apa yang aku baca di ruangan agama dalam akhbar semalam....kiamat begitu ditakuti oleh semua orang hinggakan rambut kanak-kanak menjadi beruban......Benarlah juga bahawa ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak yang lahirnya putih bersih samada menuju kebenaran atau kebatilan. Justeru, ketam mengajar anaknya berjalan senget perlu DIELAKKAN demi mencapai kebahagiaan bersama di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment